Monday, September 8, 2014

Mesyuarat Agung Kali Pertama Berjalan Lancar...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera!

Tahniah kepada semua ahli-ahli MIRA yang berjaya hadir dan menjalankan tanggungjawab melaksanakan mesyuarat agung yang pertama ini dengan jayanya. Kehadiran yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan masih banyak syarikat-syarikat rakaman bebas yang wujud di negara ini tidak memasuki mana-mana persatuan syarikat rakaman ataupun gagal menjadi ahli mana-mana persatuan berkaitan dengan persatuan syarikat rakaman atas alasan yang pelbagai.




Samada masih tidak mengetahui atau samar-samar tentang transformasi perniagaan syarikat rakaman alaf baru ini atau memasuki perniagaan ini sekadar hobi atau suka-suka, ianya tidak boleh memisahkan kita dengan ilmu pengetahuan terkini samada berkaitan dengan pelbagai teknologi baru yang wujud untuk menggantikan cara lama pemasaran muzik diniagakan, ataupun tentang hak-hak pemilik rakaman ke atas pelaburan yang dibuat bagi menghasilkan sesebuah rakaman yang diterbit dan diedarkan.

Justeru itu mari kita sama-sama bersatu sambil menimba pengalaman atas pengetahuan baru perniagaan muzik ini yang selama ini ditutup atau di 'susah'kan pengertiannya sehingga ramai pengusaha-pengusaha rakaman muzik kecil dan marhaen ini sukar untuk mendapatkan maklumat terkini atau kadang-kadang tidak memahami tentang apa yang diperkatakan.

PELAN BERTINDAK MIRA

Beberapa rancangan gerak-kerja bagi persatuan ini perlulah kita rangka bagi mewujudkan pelan bertindak beserta dengan 'target' sesebuah pelan itu dijangkakan akan mencapai tujuannya. Antaranya adalah:

1. Seminar dan Bengkel Pemahaman tentang Harta Intelektual termasuk Paten, Trademark, Hakcipta dan lain-lain yang berkaitan dengan ahli-ahli sebagai Pemilik Rakaman khasnya dan sebagai pengkarya umumnya, termasuk asas-asas pemahaman sebagai Pemilik Rakaman Kandungan, Pelaku Kandungan dan hak-hak royalti yang berkaitan, - ini boleh kita laksanakan dengan bantuan MyIPO dan lain-lain rakan strategik samada dalam dan luar negara;

2.  Geran-geran khas bantuan kepada industri kreatif di bawah KKMM yang dilihat begitu penyayang dan murah hati kepada sektor kreatif animasi tetapi terlalu 'berkira' dan kedekut kepada sektor kreatif rakaman muzik/audio/video muzik, bukannya tidak ada tetapi tidak sepadan dengan jumlah pengusaha yang bergiat;

3. Menubuhkan sebuah agensi "One Stop" untuk pendaftaran ringtones, caller ringtones dan apa-apa perniagaan yang melibatkan syarikat telekomunikasi dalam negara atau untuk pasaran negara ini, secara terus bagi kemudahan ahli-ahli;

3. Pengiktirafan kepada MIRA baik dari pihak kerajaan dan swasta serta di kalangan komuniti antarabangsa;

Tiga perkara di atas perlulah kita membuat perancangan teliti dan kita harap barisan AJK yang baru dilantik sessi 2014-2016 ini dapat membuat pelan untuk jangkamasa 6 bulan hingga setahun. Seterusnya pula di kalangan ahli-ahli yang ada agar dapat melengkapkan semua metadata atau perincian hakmilik rakaman anda kepada pihak pengurusan MIRA secepat yang mungkin dan mengeluarkan sedikit pelaburan untuk membuat pendaftaran kepada MyIPO sebuah badan pendaftaran harta intelek yang dilantik oleh kerajaan. 

Ini adalah penting untuk menjadikan hak-hak kita sebagai pemilik sesuatu rakaman muzik/audio/video itu terlindung dari segi undang-undang dan hak-hak kita itu tidak dinafikan oleh mana-mana pihak yang lain. 

Oleh itu MIRA akan menganjurkan satu Bengkel Pemahaman Pemasaran Digital dalam masa yang terdekat ini dan mana-mana ahli yang berminat bolehlah membuat pendaftaran menerusi email kepada info.mira2013@gmail.com atau hubungi sdr Mahzan dan Jebat Suhairi. Apabila sudah mencapai lebih daripada 30 orang, maka pihak MIRA akan menetapkan tempat dan masa bengkel ini akan diadakan dan membuat jemputan kepada penceramah atau tutor bagi bengkel ini. 

Selamat berpersatuan kepada semua ahli, terima kasih.

Haji Rozman b Haji Abas
Setiausaha MIRA 



No comments:

Post a Comment